"Cari Pasangan" nyanyian Rabbani mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang berlaku dahulu kala. Diceritakan dalam kisah tersebut, seorang jejaka yang kelaparan telah memakan sebiji buah epal yang dijumpainya. Tiba-tiba, jejaka tersebut berhenti kerana teringatkan dia belum meminta izin daripada tuan yang menanam pokok buah tersebut. Lalu, jejaka itu berjalan mengikut sungai yang terletak berdekatan dengan tempat dia menjumpai epal tersebut. Sungai itu telah membawanya ke sebuah kebun epal milik seorang lelaki tua. Setelah menemuinya, lelaki tua mensyaratkan jejaka itu supaya bekerja di kebunnya untuk menebus semula kesalahannya. Jejaka itu bersusah payah berulang-alik dari rumahnya untuk bekerja di kebun tersebut. Lelaki tua yang melihat kesungguhan dan keikhlasan jejaka tersebut bekerja tanpa sebarang upah, lalu hatinya terpaut untuk mengambil jejaka itu sebagai calon menantu. Lalu ditanyakan kepada jejaka tersebut, "Mahukan kamu berkahwin dengan anak pak cik?" Jejaka tersebut yang memikirkan dia terlalu banyak terhutang budi dengan lelaki tua tersebut telah bersetuju untuk mengahwini anak gadis lelaki tua itu. "Anak pak cik tidak sempurna rupa, anggota zahirnya lumpuh semua, dia langsung tidak berupaya untuk mengurus dirinya sendiri " Tersentak si jejaka apabila mengetahuinya. Bermacam-macam persoalan yang timbul di benak fikirannya. Namun, jejaka itu tetap redha pada takdir kerana memikirkan satu kelebihan isterinya iaitu mempunyai iman yang teguh. Malam mereka diijabkabulkan, debaran hebat dirasakan jejaka tersebut, malam yang akan menyaksikan pertemuan pertama dengan isterinya. Namun,perkara yang sebaliknya berlaku. Terpesona si jejaka apabila memandang rupa paras isterinya yang sungguh cantik menawan. Isterinya tidak seperti yang dikisahkan bapa mertuanya. Akhirnya bapa mertuanya menghuraikan jawapan sebenar. Segala yang dikisahkan hanyalah sebagai kiasan semata-mata untuk menguji sejauh mana keikhlasan jejaka tersebut. Kiasan tersebut juga memberi makna kesucian diri seorang wanita solehah yang terpelihara. Terharu hati si jejaka lalu tunduk bersyukur ke hadrat Ilahi.
Pengajaran:
Terdapat 4 sebab mengapa seorang wanita itu dikahwini. Pertama, kerana kecantikannya. Kedua,kerana hartanya. Ketiga, kerana keturunannya. Dan keempat, kerana agamanya. Rasulullah S.A.W bersabda agar mengutamakan syarat agamanya jika inginkan kebahagiaan berkekalan. Syarat yang lain jika memenuhi adalah satu kelebihan bagi wanita tersebut.
Pesanan:
Harap maaf sekiranya kisah di atas agak membosankan..ngee~~ . Juga harap dimaafkan sekiranya ada yang merasakan kisah ini agak berlainan daripada apa yang anda tahu. Biasalah,cerita ni ustaz saya yang sampaikan. Jadi, unsur tokok tambah tu berkemungkinan ada. =) apa2 pun,semoga kita semua mengambil iktibar daripada kisah di atas =)
No comments:
Post a Comment